Pages

Wednesday, February 3, 2016

SITUASI TERKINI VIRUS ZIKA DI MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM)  ingin  memaklumkan status terkini berkaitan jangkitan virus Zika yang telah merebak dengan pantas ke beberapa buah negara terutama di rantau Amerika. Pada masa ini terdapat sebanyak 26 buah negara telah melaporkan kes Zika iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, dan Venezuela.


Pada 1 Februari 2016, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengisytiharkan jangkitan virus Zika sebagai "Public Health Emergency of International Concern" (PHEIC) iaitu melalui mesyuarat pertama "Emergency Committee under International Health Regulation" (IHR 2005). 

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan bagi membendung penularan virus Zika ke negara ini. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan ialah menyediakan dan pewujudan sistem pemantauan serta pengurusan jangkitan virus Zika yang melibatkan perkara-perkara berikut:

i. Survelen klinikal untuk kes Zika di klinik kesihatan dan hospital.
ii. Survelan makmal untuk virus Zika
iii. Survelan "Microcephaly" bagi memantau kejadian kes ini 
iv. Tindakan pencegahan dan kawalan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri
v. Kesiapsiagaan dan Respons Pintu Masuk Antarabangsa Negara 

Melalui survelan berterusan yang dilakukan oleh KKM bagi mengesan jangkitan virus Zika di negara ini, sehingga 2 Februari 2016  sebanyak  293 sampel darah  daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi tetapi ujian denggi negatif, telah diuji untuk mengesan virus Zika dan setakat ini semua keputusan adalah negatif. Pemantauan dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).  
 
Selain tindakan yang telah dilakukan oleh KKM, peranan pihak masyarakat untuk  mencegah penularan jangkitan adalah amat penting iaitu seperti berikut:

i. Mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan berhampiran sekiranya  menghidap gejala dan tanda-tanda seperti demam, sakit badan, ruam dan konjuktivitis setelah kembali dari 26 buah negara yang dijangkiti virus Zika. 

ii. Menangguhkan perjalanan ke negara-negara terlibat khususnya bagi wanita yang mengandung. Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, mereka perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk Aedes seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repellent) secara tetap.  

iii. Bagi mereka yang telah kembali dari negara terlibat tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, bolehlah mendapatkan khidmat nasihat daripada mana-mana pengamal perubatan berdaftar sama ada kerajaan atau swasta dalam apa juga perkara berkaitan jangkitan ini.

iv. Semua pihak sama ada individu, masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu melakukan aktiviti pencegahan sepertimana penyakit demam denggi kerana virus Zika juga disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Tindakan pencegahan yang perlu dilakukan adalah  seperti berikut :-

- Memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam dan swasta bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.
   
- Melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan repellent, memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan melakukan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa.

- Melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing.

- Disaran untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.  

v. Bagi kawalan di Pintu Masuk Antarabangsa, perlu dijelaskan saringan suhu badan bukanlah satu kaedah yang berkesan memandangkan sekitar 80% mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun begitu, pelawat asing yang datang atau rakyat Malaysia yang pulang dari negara terlibat dan menunjukkan gejala-gajala denggi atau Zika, disaran memaklumkan kepada anggota kesihatan yang bertugas di pintu masuk berkenaan. Mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala akan diedarkan Kad Peringatan Kesihatan bagi memaklumkan langkah-langkah yang perlu diambil jika menunjukkan gejala dalam tempoh sebulan selepas kembali ke Malaysia.

Sekiranya semua pihak  bekerjasama dalam melakukan tindakan pencegahan, khususnya dalam memusnahkan tempat pembiakan Aedes serta perlindungan daripada gigitan nyamuk dan mengambil serius jangkitan Zika ini sebagai "public health emergency" seperti yang disarankan oleh WHO, maka perebakan jangkitan ke negara ini akan dapat diatasi.  


YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

3 Februari 2016

No comments: