Pages

Tuesday, October 11, 2016

Puasa Hari Tasu'a (9 Muharram) Dan Hari 'Asyura (10 Muharram)

" Kita sudah berada di dalam Bulan Muharram ini, salah satu bulan yang sangat Mulia disisi Allah سبحانه وتعالى. Hari hari dan malam malam berlalu dengan cepat, Satu minggu daripada Bulan Muharram sudah kembali kepada Allah سبحانه وتعالى.

Rasulullah صلى الله عليه واله وصحبه وسلم bersabda dalam hadith soheeh, riwayat Imam Muslim, Sebaik baik puasa setelah Bulan Ramadhan ialah puasa di Bulan Muharram. Maknanya Bulan ini mempunyai satu Rahsia yang khusus , Kelebihan yang sangat Special disisi Allah سبحانه وتعالى dan ada Khasiatnya tersendiri yang tidak ada pada bulan bulan yang lain.

Allah سبحانه وتعالى Berfirman dalam Hadith Qudsi, Setiap amalan soleh anak anak Adam itu untuk dirinya sendiri melainkan Ibadah Puasa, Ibadah Puasa itu khusus bagi Saya. Maknanya balasan dan ganjaran untuk orang yang berpuasa bukan di dunia, tapi Allah سبحانه وتعالى sendiri yang akan bayar ganjarannya pada Hari Akhirah.

Nilai, harga dan bayaran untuk amalan amalan soleh seperti hadir majlis ilmu ini, kita akan dapat sebelum kita keluar daripada majlis ilmu ini melalui Malaikat Allah سبحانه وتعالى. Kita solat, zikr ,selawat dan sebagainya kita akan dapat bayarannya setelah kita selesaikan ibadah ibadah itu, kecuali ibadah puasa.

Allah سبحانه وتعالى Berfirman kepada Malaikat Nya, Wahai Malaikat, jangan beri kepadanya, kamu tidak mampu nak bayar kepada mereka yang berpuasa, biarkan Saya sendiri yang membayar ganjaran puasa hamba Saya. Melalui Ibadah Puasa sahaja, seseorang itu telah menjalinkan hubungan yang luar biasa antaranya dengan Allah سبحانه وتعالى.

Kalau nak puasa yang terbaik disisi Allah سبحانه وتعالى ialah puasa di bulan Muharram (Special) setelah puasa di bulan Ramadhan (Wajib). Kerana setiap orang wajib berpuasa di bulan Ramadhan. Tapi kalau nak hubungan yang special antara kamu dengan Allah سبحانه وتعالى carilahnya di dalam Bulan Muharram ini. Inilah satu peluang dan kelebihan yang luar biasa, satu kemuliaan yang sangat besar daripada Hadhroh Allah سبحانه وتعالى dengan berkat Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وصحبه وسلم.

Tapi di Bulan Muharram ini ada dua hari yang lagi Mulia disisi Allah سبحانه وتعالى. Puasalah di dalamnya iaitu Hari Tasu'a dan Hari 'Asyura. Pasanglah niat daripada sekarang dan Azamlah untuk berpuasa pada 9 Muharram dan 10 Muharram ini InshaAllah. Sebelum Allah سبحانه وتعالى mewajibkan atas Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وصحبه وسلم, Allah telah mewajibkan puasa hari 'Asyura atas Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وصحبه وسلم dan ummatnya.

Tapi setelah diwajibkan untuk kita berpuasa di bulan Ramadhan, maka hari 'Asyura menjadi Sunnah Muakkad, sunnah yang Rasulullah صلى الله عليه واله وصحبه وسلم tidak pernah tinggalkannya. Bahkan orang yahudi dan nasara yang sebelum kita, mereka pernah berpuasa pada hari 'Asyura, jadi untuk membezakan antara kita dengan mereka, Rasulullah صلى الله عليه واله وصحبه وسلم suruh kita berpuasa satu hari sebelum atau selepasnya.

Apakah kelebihan dan ganjarannya? Rasulullah صلى الله عليه واله وصحبه وسلم bersabda dalam Hadith Soheeh ,Riwayat Imam Muslim, Puasa satu hari di dalam bulan Muharram, Allah سبحانه وتعالى Ampunkan dosa dosa satu tahun yang telah lepas. Hanya satu hari sahaja berpuasa, Allah Ampunkan semua dosa kamu pada tahun lepas. Seakan akan baru lahir. SubhanaAllah. Alangkah mulianya Umat Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وصحبه وسلم disisi Allah سبحانه وتعالى.

Dosa kita banyak sangat, sehingga kita dah lupa apa yang kita buat tahun sudah. Mata kita, lidah kita, hati kita. Allah سبحانه وتعالى Berfirman , Mereka sudah tapi Allah Catat Semuanya. Marilah kita sama sama berpuasa pada Hari Tasu'a dan Hari 'Asyura InshaaAllah. Ia jatuh pada hari isnin. Boleh buat dua niat pada hari isnin itu, Puasa Sunat Hari Tasu'a dan Puasa Sunat Hari Isnin dapat dua ganjaran.

Sebenarnya Pada Hari 'Asyura ,Allah سبحانه وتعالى telah menyelamatkan Nabi Nuh عليه السلام , dan menyelamatkan Nabi Musa عليه السلام daripada firaun, Allah سبحانه وتعالى juga menyelamatkan dan mengampunkan dosa dosa Nabi Adam عليه السلام. Banyak kelebihan pada hari tersebut. Kalau tidak ada kelebihan ini pun, cukuplah perbuatan Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وسلم bagi yang cinta kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه واله وصحبه وسلم.

Kita muliakannya kerana Rasulullah صلى الله عليه واله وسلم sendiri memuliakan hari itu. Mudah mudahan InshaAllah kita sama sama dapat bantuan dan taufiq daripada Allah سبحانه وتعالى untuk menjalankan Ibadah tersebut, untuk menghidupkan sunnah dan mengembirakan hati Nabi صلى الله عليه واله وصحبه وسلم

Sangat cemburu bila nampak orang yang berpuasa daripada hari pertama sehingga hari ini. Mudah mudahan kita yang tak puasa ini mendapat pahala sepertimana mereka yang berpuasa InshaaAllah Ta'ala. Bagi yang uzur dan tidak boleh nak berpuasa InshaaAllah mudah mudahan Allah سبحانه وتعالى Yang Maha Pemurah, Allah akan berikan pahala kepada mereka sepertimana mereka yang berpuasa.

Semoga Allah سبحانه وتعالى terima Ibadah mereka yang sudah puasa, semoga Allah muliakan mereka dunia akhirah InshaaAllah .Mudah mudahan Allah سبحانه وتعالى mengampunkan dosa dosa kita yang kita buat pada tahun lepas amiim Allahumma amiin"

Murobbi Sheikh Abdullah Bin Muhammad Bin Salim Al Jahaf حفظه الله تعالى

No comments: