Dipetik dari Harian Metro
Nostalgia membesar di kawasan luar bandar menggamit kenangan penulis berkongsi kisah menjadi penanggah. Setiap daripada kita sudah tentu pernah menjadi penanggah sama ada di kenduri kahwin sanak-saudara atau rakan-taulan.
Penanggah atau nama lainnya seperti yang disebut di kawasan utara tanah air iaitu ‘mentara’ merujuk kepada pelayan majlis. Kebiasaannya penanggah hanya boleh dilihat ketika kenduri kahwin atau kenduri kesyukuran terutama di kawasan kampung. Penanggah sinonim dengan kenduri yang dilakukan secara rewang atau gotong-royong oleh sanak-saudara mahupun jiran tetangga.
Musim kenduri kahwin semakin rancak dalam musim tertentu. Cuti sekolah, musim perayaan adalah pilihan waktu tepat bagi mereka yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran dan sebagainya.
Riuh rendah
Jika ditanya orang lama, mereka pasti akan berkongsi kisah dengan menyatakan budaya saling bantu membantu ini sudah wujud sejak sekian lama. Selain boleh mengeratkan hubungan, penanggah juga mampu menceriakan suasana majlis dengan riuh rendah suara mereka.
Kumpulan pelayan majlis ini pada asalnya bertujuan untuk membantu melancarkan perjalanan sesebuah majlis namun lama kelamaan ia menjadi amalan baik sekali gus dipraktikkan dalam kehidupan seharian masyarakat terutama di kawasan luar bandar. Pun begitu, masyarakat bandar yang mengamalkan majlis secara rewang juga tidak terkecuali mengamalkan budaya turun temurun ini.
Penanggah tidak hanya tertumpu kepada orang tua tetapi ia lebih terarah kepada anak muda kerana merekalah yang lebih bertenaga untuk mengangkat dulang makanan, hidang ataupun memberi bunga telur dari meja ke meja.
Bahagi tugas
Biasanya, anak muda diletakkan sebagai ‘front row’ atau barisan hadapan untuk mengemudi majlis dengan menghidang atau mengangkat makanan kerana ia memerlukan kudrat dan ketangkasan mengawal kehadiran dan jamuan tetamu.
Manakala, bagi mereka yang lebih berusia akan tertumpu kepada masakan dijalankan secara bergotong-royong. Para ibu pula akan ‘standby’ di bahagian ‘dapur’ memegang peranan untuk menyenduk lauk untuk dihidang kepada tetamu.
Bagi kelompok gadis, mereka akan diletakkan sebagai penyambut tetamu atau memberikan cenderahati berupa bunga telur kepada tetamu yang hadir. Begitulah serba ringkas antara peranan penanggah atau mentara.
Baju sedondon
Jika dulu, individu yang terpilih menjadi penanggah akan sibuk mencari baju sesuai untuk dipakai pada hari kenduri namun kini hal pemilihan baju di bawah tanggungan tuan empunya majlis. Bagi tuan rumah yang meletakkan tema tertentu, mereka akan menyediakan baju khas untuk kumpulan penanggah.
‘Trend’ pengantin sebenarnya berubah-ubah mengikut zaman. Semakin hari pengantin semakin kreatif dan cuba untuk menjadikan majlis mereka momen terbaik yang akan dikenang sesiapa saja. Justeru, kumpulan penanggah turut tak terkecuali diberi perhatian lebih oleh si pengantin. Gabungan warna, aksesori serta corak baju menjadi titik penting buat tuan rumah supaya majlis menjadi lebih sempurna.
Baju sedondon dengan aksesori bunga yang disepit di bahagian depan baju mampu menaikkan suasana ceria selain memudahkan tetamu untuk bertanyakan apa saja kepada mereka. Jika dikumpulkan kesemuanya ‘orang kuat’ sesebuah majlis ini, mereka tak ubah kelihatan seperti boria namun percayalah, pengalaman menjadi penanggah mampu mengukir kenangan manis dalam hidup kita.
Dulang terbalik
Penulis berkongsi pengalaman menjadi penanggah ini dengan beberapa orang rakan dan mereka bersetuju kebanyakan pengalaman hanya dikutip ketika zaman kanak-kanak dan muda remaja di kampung halaman.
Ummu Aiman Md Isa, 26, menceritakan pengalamannya menjadi mentara di kenduri kahwin sepupu ketika dia berusia 13 tahun.
“Ketika orang sibuk nak pilih siapa nak dijadikan mentara, saya pun sibuk nak turut serta. Peristiwa yang paling tak boleh lupa pada hari kenduri sendiri. Akibat terlalu yakin mampu angkut satu dulang dengan empat jenis lauk-pauk untuk dihidang di meja tetamu, saya terlepas dulang separuh jalan hingga berterabur makanan atas lantai. Memang memalukan,” katanya.
Bagi Fadzlina Hj Hashim, 27, kenangan menjadi penanggah terutama di kenduri kawasan kampung adalah pengalaman manis yang akan disimpan sampai bila-bila. Katanya, penanggah ibarat bekerja dalam kumpulan. Kita akan berasa gembira dan senang apabila mengetahui titik peluh sendiri berjaya melancarkan perjalanan sesebuah majlis selain mengukir senyuman tetamu yang hadir.
“Saya pernah ambil alih tanggungjawab ayah sebagai ketua penanggah pada majlis kahwin abang. Memang berat sebab kena tahu kuantiti makanan, jumlah tetamu, cenderahati dan sebagainya tapi bagi saya, ia pengalaman yang tak boleh saya kutip di mana-mana tempat selain di negara sendiri,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/21