Pages

Thursday, January 28, 2016

Koleksi hadis palsu popular di Facebook

Nabi Muhammad SAW telah berpesan kepada umat baginda supaya tidak berdusta di atas nama baginda. Bahkan orang yang berdusta atas nama baginda diancam dengan neraka sebagaimana sabdanya:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."
(Muttafaqun 'alaih)

Di antara alasan popular orang-orang yang gemar menggunakan hadis-hadis palsu adalah seperti:
Apa salahnya nak sebarkan benda baik.
Kami bukan menipu nabi, kami menipu untuk bantu dakwah nabi.

Ingatlah, walau apa alasan sekalipun ia tidak menghalalkan sesiapapun untuk menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW apa sahaja yang baginda tidak pernah ucapkan atau lakukan.

Memandangkan hadis-hadis palsu kini sangat giat disebarkan di Facebook, saya cuba mengambil inisiatif kecil ini untuk mengumpulkannya. Koleksi ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Oleh itu, berhati-hatilah dari menyebarkan atau beramal dengan hadis palsu!

Hadis palsu

1. "Barangsiapa yang meniru, mengucapkan selamat kepada agama lain bererti ia telah kafir & neraka janahamlah tempatnya."
 [Tidak sah dari Nabi SAW]

2. "Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya."
[Menurut al-Albani: tidak sah dari Nabi SAW]

3. "Nabi Muhammad semasa hendak wafat menyebut ummati! ummati!"
 [Tidak sah dari Nabi SAW]

4. Hadis-hadis berkenaan fadilat puasa bulan Rejab 1 hari, 2 hari, 3 hari, 7 hari, 8 hari dan seterusnya.
 [Tidak sah dari Nabi SAW]

5. "Barangsiapa yang memperingatkan bulan Rejab kepada saudara-saudara semuslimnya, maka api neraka diharamkan menyentuhnya."

6. "Bulan Rejab adalah bulan Allah yang Maha Agung, tidak ada bulan yang menandingi kemuliaanya dan keutamaannya, di dalamnya diharamkan berperang dengan orang-orang kafir, kerana bulan Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sesiapa yang berpuasa sehari di dalamnya wajib baginya memperoleh redha Allah, dijauhkan dari murka-Nya, dan diselamatkan dari semua pintu neraka."
['Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku' adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha'if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu'at al-Islamiyyah, Halab, Syria)]

7. "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar,bersopan santun serta cerdas pemikirannya."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

8. "Dosa-dosa Meninggalkan Shalat Fardhu. (1) Shalat subuh : "Satu kali meninggalkan akan dimasukan kedalam neraka selama 30 tahun yang sama dengan 60.000 tahun didunia. (2) Shalat Zhuhur : "Satu kali meninggalkan dosanya sama dengan membunuh 1.000 orang umat islam. (3) Shalat Ashar : "Satu kali meninggalkan dosanya sama dengan menutupi meruntuhkan Ka'bah. (4) Shalat Magrib : "Satu kali meninggalkan dosanya sama dengan berzina dengan orangtua. (5) Shalat Isya : "Satu kali meninggalkan tidak akan diridhai Allah SWT tinggal dibumi atau dibawah langit serta makan dan minum dari nikmat-Nya. 
[Tidak sah dari Nabi SAW. Di Facebook ada yang ditulis kononnya diriwayatkan oleh Muslim. Dusta]

9. Kata Saidina Abu Bakar r.a. yang bermaksud: "Barang siapa membelanja ia satu dirham pada perbuatan Maulud Nabi SAW nescaya adalah ia menjadi taulan dalam syurga."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

10. Kata Saidina Umar r.a. yang bermaksud: "Barang siapa membesar ia akan maulud Nabi SAW maka sesungguhnya telah menghidup ia akan Islam."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

11. Kata Saidina Othman r.a. yang bermaksud: "Barang siapa yang membelanja akan ia satu dirham atas membaca kisah Maulud Nabi SAW maka seolah-olah hadir ia perang Badar dan Hunain."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

12. Kata Saidina Ali r.a. yang bermaksud: "Barang siapa membesar ia akan Maulud Nabi SAW nescaya tidak keluar ia daripada dunia melainkan dengan iman."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

13. Kata Imam Syafie r.a. yang bermaksud : "Barang siapa menghimpun ia akan saudaranya yang muslimin kerana memperbuatkan Maulud Nabi s.a.w. dan menyediakan bagi mereka itu makanan dan minuman dan memperbuat ia akan kebajikan nescaya membangkit oleh Allah Taala akan dia pada hari kiamat berserta siddiqin dan syuhadat dan adalah ia dalam syurga Jannatunnaim."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

14. "Seorang wanita solehah lebih baik dari seribu lelaki soleh dan seorang wanita jahat lebih jahat dari seribu lelaki jahat."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

15. "Seorang wanita solehah lebih baik dari 70 orang Wali."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

16. "Seorang wanita ada 9 nafsu 1 akal dan seorang lelaki pula ada 9 akal 1 nafsu."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

17. "Wanita yang mengizinkan suaminya berpoligami akan diberikan ganjaran payung emas di syurga."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

18. "Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya."
[Hadith ini TIDAK SAHIH ia adalah satu PENDUSTAAN, ia juga bukan dari hadith al-Bukhari mahupun Muslim.]

19. "Barangsiapa yang merasakan dirinya seorang yang berilmu bahawasanya ia SYIRIK." (Riwayat Ahli Sufi)
[Tidak sah dari Nabi SAW]

20. "Air tangan orang yang tidak solat lebih hina dari air kencing anjing hitam."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

21. "Siapa yang kenal akan dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya."
[Tidak sahih dan palsu menurut ibn Taimiyyah, as-Suyuthi dan an-Nawawi]

22. "Jangan baring ketika azan, nanti jenazah menjadi berat."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

23. "Jangan berkata-kata semasa azan, agar lidah tidak kelu menyebut shahadah ketika sarakatul maut."
[Tidak sah dari Nabi SAW]

Wallahu 'alam.......

No comments: