Maksud Istidraj adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Di dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi manusia muslim, Allah SWT akan menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Secara mudahnya ujian Allah SWT ke atas manusia ada dua bentuk. Yang pertama dalam bentuk nikmat dan yang kedua dalam bentuk bala.
Contoh ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat antara lain ialah pangkat, kedudukan, kuasa, kekayaan, kemewahan, sihat tubuh badan, tidak pernah sakit dan banyak lagi. Manakala ujian Allah SWT dalam bentuk bala antara lain ialah tiada pangkat dan kedudukan, tidak memiliki kuasa, kemiskinan, kemelaratan hidup, sakit, kematian ahli keluarga terdekat dan banyak lagi. Kebanyakan manusia muslim dan mukmin mampu mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk bala ini. Malangnya ramai manusia termasuk yang muslim tetapi tidak mukmin gagal mengharungi ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat.
Ramai manusia yang hanyut dengan nikmat Allah SWT dan tidak sedikit pula yang menjadi riak, sombong, angkuh, takbur dan ada yang mengaku menjadi tuhan dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Contoh klasik yang patut di fikirkan tentang jenis manusia yang mendapat nikmat tetapi lupa kepada Allah SWT ialah Firaun, Qarun, Namrud dan banyak lagi. Mereka ini semuanya ditimpa dengan bala bencana dan kemudiannya dimusnahkan oleh Allah SWT. Tidakkah terfikir oleh kita kenapa sesudah diberikan dengan pelbagai nikmat, Allah SWT musnahkan pula mereka dan segala nikmat yang telah mereka perolehi.
Perkara inilah yang dinamakan istidraj. Pemberian nikmat oleh Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Kenapa pula terjadi beri tetapi tidak redha. Inilah satu kaedah Allah SWT berurusan dengan manusia yang tidak tahu bersyukur dan ingkar dengan perintahnya. Pelbagai nikmat telah diberikan tetapi manusia tidak beriman dan bersyukur sebaliknya menjadi betambah angkuh, sombong, bongkak , takabur dan kafir terhadap Allah SWT. Dalam hal ini tidak hairanlah jika Allah SWT beri tetapi tidak meredhainya.
No comments:
Post a Comment