Pages

Sunday, September 11, 2011

Keistimewaan Memeluk Islam

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :" Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:" Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya."
 
(al-Bukahri)

 

 
Huraian
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

Balasan Meninggalkan Solat Asar

Hadith :
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:"Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya."
 
(al-Bukhari)

 

 
Huraian
Solat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam malah ia termasuk dalam salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari sudut pelaksanaan solat, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat kecuali mereka yang menghadapi suasana darurat yang membolehkan ia berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w dan umat Islam Madinah ketika berlaku peperangan Khandak yang sungguh sengit di mana pihak musuh telah mengepung Kota Madinah. Demi menjaga keselamatan mereka terpaksa menunda solat Asar hingga ke waktu Maghrib.

Saturday, September 10, 2011

Bertimbang Rasa Dengan Orang Bawahan

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a : " Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan sapaan yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada ku :" Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan sapaan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka."
 
(al-Bukhari)

 

 
Huraian
Komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Sikap 'egoist' akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan. Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Dari Titik Peluh Sendiri

Hadith :
Dari Zubair bin Awwam r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:"Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi ataupun tidak."
 
(al-Bukhari)

Huraian
Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu, sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya. Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan hanyalah 'mahu' atau 'tidak' kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu ke lembah kehinaan. Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki alamat hidup akan melarat. Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.

Punca Segala Bencana


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:"Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:"Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:"Kerana inilah tanganku dipotong" Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun."
  Huraian



Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)
(Muslim)