Pages

Tuesday, May 28, 2013

Penduduk perlu tahu fungsi dan peranan JMB

Masalah bangunan kediaman tidak diselengara, lif rosak, pemaju lepas tangan dan sebagainya antara masalah yang sering membelenggu penghuni kediaman bertingkat.

Masalah itu sebenarnya boleh diatasi jika penduduk bersepakat menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB).

Namun, sehingga ke hari ini masih ramai yang tidak mengetahui peranan dan fungsi sebenar JMB.

Bagi menjelaskan peranan dan fungsi JMB, ikuti wawancara Komunitikini bersama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Noraini Hussin untuk mengupas lebih lanjut mengenai isu tersebut.

Komkini: Apakah Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB)?

Noraini: Satu badan yang ditubuhkan bagi menyediakan satu mekanisma bagi pemaju dan pemilik petak bersama-sama bertanggungjawab dalam mengurus dan menyenggara bangunan mereka sebelum diserahkan kepada MC (Perbandanan Pengurusan) yang seluruhnya dianggotai dan dikendalikan oleh pemilik petak.

Komkini: Kenapa perlunya JMB?

Noraini: sebagai satu medan kepada pemaju dan pemilik petak untuk berinteraksi serta menjalinkan semangat muhibbah dan kerjasama.

Komkini: Apakah tanggungjawab dan kuasa JMB?

Noraini: Tanggungjawab JMB :

1. Memberitahu dan mendaftar nama JMB dengan COB (Pesuruhjaya Bangunan) dalam masa 28 hari dari mesyuarat pertama.
2. Menyenggara harta bersama dengan sempurna dan menjaga harta bersama itu dalam keadaan vaik dan pembaikan yang dapat digunakan.
3. Menyenggara suatu datar yang mengandungi unit syer setipa petak, keluasan lantai, nama dan alamat pembeli, nama dan alamat peguam cara dan bilangan petak yang tidak terjual.
4. Menyimpan, menyenggara dan menguatkuasakan kaedah-kaedah dalaman (house rules) yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.
5. Mentadbir dan mengawal Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan (KWPB) yang terdiri daripada pelbagai sumber termasuk daripada lebihan daripada APB (Akaun Penyenggaraan Bangunan) yang diserahkan oleh pemaju setelah JMB ditubuhkan.
6. Membuka dan menyenggara suatu kumpulan wang penjelas atau sinking fund iaitu satu dana yang mengandungi bahagian caruman daripada KWPB bagi memenuhi liability sebenar atau yang dijangkakan.
7. Menginsuranskan dan terus menginsuranskan bangunan itu sebanyak nilai gentian bangunan itu terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain sebagaimana yang ditentukan oleh JMB.
8. Mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan untuk menimbangkan KWPB dan apa-apa urusan lain yang mungkin berbangkit dan mesyuarat agung luar biasa jika diperlukan
9. Melakukan apa-apa perkara lain yang suai manfaat atau perlu bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan itu dengan sempurna.

Kuasa JMB:

1. Mengutip daripada pembeli, caj penyenggaraan dan pengurusan berkadaran dengan unit syer yang diuntukkan bagi petak masing-masing.
2. Membenarkan perbelanjaan bagi menjalankan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama.
3. Mendapatkan kembali daripada mana-mana pembeli jumlah wang yang dibelanjakan oleh JMB berkenaan dnegan petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
4. Membeli, menyewa atau memperoleh harta alih atau harta tak alih bagi kegunaan oleh pembeli berkaitan dengan penikmatan harta bersama mereka.
5. Mengatur dan mendapatkan perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk mengusahakan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama bangunan itu.
6. Membuat kaedah-kaedah dalaman bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan dengan sempurna.
7. JMB boleh mendapatkan kembali daripada pembeli amaun yang dibelanjakannya untuk melaksanakan apa-apa pembaikan, kerja atau perbuatan yang perlu.
8. Melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan tugasnya di bawah Akta 663

Komkini: Siapakah Ahli-ahli JMC dan berapakah bilangan ahli-ahlinya?

Noraini: Ahli JMC terdiri daripada pemaju dan 5 – 12 orang pembeli.

Komkini: Berapa lama tempoh jawatan tersebut?

Noraini: Sehingga mesyuarat pertama MC diadakan dan majlis  MC dilantik.

Komkini: Bagaimana Ahli JMC dipilih?

Noraini: Mesyuarat agung tahunan JMB dan boleh memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sehingga pembubaran JMB mengikut mana-mana terdahulu.

Komkini: Siapakah yang layak mengundi?

Noraini: Pemilik petak atau pemilik rumah yang tidak mempunyai tunggakan caj penyenggaraan

Komkini: Bagaimana pula dengan penduduk yang mempunyai tunggakan?

Noraini: Boleh hadir mesyuarat agung JMB tetapi tidak boleh mengundi